DJ Lin kekal jadi pilihan pendengar, tahun keempat menang anugerah ‘Penyampai Radio Paling Dipercayai’



PENYAMPAI radio Suria FM iaitu DJ Lin sekali lagi mengungguli anugerah Penyampai Radio Paling Dipercayai sempena acara Reader's Digest Trusted Brands 2024.

Kemenangan ini merupakan kali keempat berturut-turut buat DJ Lin.

Terharu atas kepercayaan yang diberikan, DJ Lin atau Roslinda Abd Majid, 49, menganggap anugerah ini sebagai pembakar semangat untuk dia terus memberikan yang terbaik terhadap kerjayanya sebagai penyampai radio.
DJ Lin sekali lagi menjadi pilihan ramai.


"Pengiktirafan ini sememangnya akan menjadi penguat semangat dan inspirasi buat saya untuk terus memberi komitmen yang padu terhadap jenama Suria FM dan industri radio Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

DJ Lin bagaimanapun tidak dapat hadir pada acara penganugerahan yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 3 Mei lalu kerana berada di Tanah Suci Makkah bagi mengerjakan ibadah umrah.

"Terima kasih kepada keluarga, peminat, rakan media, pasukan Suria FM dan pengurusan Star Media Group Berhad di atas sokongan terhadap saya sepanjang menjadi penyampai radio sejak tahun 1999.

"Sekalung penghargaan buat rakyat Malaysia yang mengundi dan sekali lagi memilih saya sebagai penerima anugerah," ujarnya.

DJ Lin yang juga merupakan Pengurus Besar Suria FM mengendalikan segmen Suria Cinta bersiaran setiap hari bermula pukul 8 malam hingga 1 pagi.
DJ Lin ketika memenangi anugerah sama tahun lalu.


Anugerah Reader's Digest Trusted Brands 2024 merupakan hasil kajian bebas oleh agensi penyelidik dengan melibatkan 2,000 sampel individu dari pelbagai latar belakang.

Sebanyak 45 kategori dipertandingkan bagi memilih jenama produk dan personaliti yang dipercayai orang ramai.

Antara yang turut memenangi anugerah tahun ini ialah Datuk Nicol David (Ahli Sukan), Alif Satar (Penyampai Hiburan) dan Amyra Rosli (Pengacara Berita TV dan Isu Semasa).

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form